AMANAT PENGETUA Sempena Tahun 2019

AMANAT PENGETUA Sempena Tahun 2019

AMANAT PENGETUA 2019

Menyulam Sahsiah Menjulang Gemilang

BISMILLAHIRAHMANIRAHHIM

Assalamualaikum WarahmatullahI Wabarakahtuh dan Salam Sejahtera

Alhamdullilah kerana dengan limpah dan kurnia Illahi dapat kita sekali lagi menyambut Tahun Baru Masihi bersama-sama dalam suasana yang kondusif, sihat sejahtera dan aman harmoni di sekolah yang memiliki sejarah cemerlang di peringkat nasional mahupun antarabangsa walaupun usianya masih setahun jagung berbanding sekolah elit, sekolah berasrama penuh (SBP) dan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di seluruh negara.

Pencapaian cemerlang dalam masa singkat yang dirintis oleh bekas pengetua, pendidik dan pelajar sekolah ini perlu diteruskan, dimantapkan dan diperkasakan agar menjadi penanda aras nasional menerusi kesepakatan semua pihak yang berkepentingan termasuk sarana ibu bapa dan kerjasama pihak swasta.

Asas kejayaan cemerlang ini berakar umbi menerusi kepimpinan pengurusan yang berwawasan dengan memperkasakan amalan terbaik KBAT dan berpaksikan Pendidikan Abad Ke-21 yang dilaksanakan oleh guru dengan penuh dedikasi dalam usaha membentuk modal insan yang memiliki kemahiran 4C iaitu bijak berkomunikasi, pintar berkolaboratif di samping berfikiran kreatif dan kritis. Kemahiran 4C itu berupaya menjadikan pelajar kita berdaya saing di peringkat antarabangsa seperti yang telah kita buktikan dengan beberapa pencapaian cemerlang dalam bidang robotik dan inovasi penyelidikan di dalam serta di luar negara.

Bagi memastikan kesinambungan kegemilangan tersebut, selari dengan motto Aim For Excellence, pada tahun ini usaha memperkukuh penguasaan kemahiran komunikasi Bahasa Inggeris  akan dilipatgandakan. Selain merealisasikan dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI), inisiatif yang akan dilaksanakan juga bertujuan membantu mencapai Aspirasi Murid Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 iaitu penguasaan minimum dua bahasa dalam kalangan murid negara kita. Pengusaan bahasa antarabangsa ini penting untuk membentuk keyakinan murid dalam membuat pembentangan di pertandingan peringkat dunia sekali gus memudahkan mereka membentuk jalinan kolaboratif dengan rakan sebaya dari seluruh dunia.

Namun begitu, ketika kita terbang tinggi melangit jangan sesekali lupa rumput di bumi. Gah kita usah sampai memusnah diri, mencemar nusa dan memalukan watan. Sentiasa muhasabah diri dan lengkapi peribadi dengan sahsiah terpuji. Usaha menyulam sahsiah menerusi penerapan nilai-nilai murni akan dilaksanakan dalam perhimpunan pagi setiap hari. Moga hasilnya murid cemerlang akademik dan bersahsiah mulia. Keseimbangan  itu adalah teras kemenjadian seseorang murid seperti yang digariskan dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan.  Dengan keseimbangan itu terbukti kita berjaya mengharung segala pancaroba bagi menempa nama, mencipta jaya dan diiktiraf di persada antarabangsa.

Sesungguhnya, tanpa sedetik pun rasa ragu, warga SBP Integrasi Gombak akan terus menjulang gemilang kerana kita semua memiliki disiplin, komitmen dan iltizam yang amat padu. Ayuh, kita bersama-sama memanfaatkan tiga faktor ini untuk mendepani cabaran dan seterusnya merekodkan kejayaan yang lebih gemilang, insha-Allah.

Sekian, Wabillahi Taufik Walhidayah wassallamualaikum warahmatullah hi wabarakatuh.

Terima kasih

NOR HAYATI BINTI YUSOFF