Majlis Anugerah Kecemerlangan Ke-13

Majlis Anugerah Kecemerlangan Ke-13

Sabtu, 16 April 2016 – Majlis Anugerah Kecemerlangan  dan Graduasi  SBP Integrasi Gombak Ke-13 Tahun 2016 telah disempurnakan perasmiannya  oleh YBhg. Dato’ Haji Ahmad Tajuddin  bin Jab, Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia (OPerasi Pendidikan).  Dalam ucapan perasmiannya, beliau menegaskan kecemerlangan murid itu bertitik tolak daripada kecemerlangan guru itu sendiri. Hal ini ditegaskan melalui pengalamannya sendiri  sebagai  murid di Sekolah Tuanku Abdul Rahman Ipoh yang memberikan kesan positif apabila guru itu berjaya menarik minat murid-murid di dalam bilik darjah. Guru yang sentiasa memberikan komitmen dan disenangi murid-murid akan memperoleh kejayaan yang cemerlang. Dalam konteks sekarang, pengajaran Abad ke-21 perlu dimanfaatkan oleh semua guru dan murid memandangkan penggunaan multimedia amat perlu dilaksanakan. Beliau turut memuji  langkah SBP Integrasi Gombak yang menggunakan  konsep SBC (Subject Based Classroom) bagi menunjukkan bahawa ilmu perlu dicari, bukan menunggu ilmu itu datang sendiri. Perubahan seperti inilah yang perlu dicontohi oleh sekolah-sekolah lain.

Sebelum itu,  dalam ucapan  Yang Dipertua Persatuan Ibu bapa dan Guru SBP Integrasi Gombak, Yang Berusaha Bridg. Jeneral  Muhammad Anwar bin Abdullah turut melahirkan rasa kagum dan berterima kasih atas kerjasama yang ditunjukkan oleh semua ibu bapa sepanjang tahun 2015 bagi merealisasikan program kecemerlangan  di sekolah itu.  Di samping itu, dalam ucapan alu-aluan Pengetua  SBP Integrasi Gombak, Puan Rahanim Abd. Rahim merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang menunjukkan prestasi yang cemerlang. Tahun 2015 menyaksikan keputusan SPM mencatatkan kenaikan kedudukan dari tangga ke-17 ke tangga 12 dalam kalangan sekolah berasrama penuh. Mudah-mudahan kejayaan pada tahun  lalu menjadi resepi terbaik dan tonik kecemerlangan pada tahun ini.

Suatu yang manis dalam Majlis Kecemerlangan dan Graduasi Kali ke-13, Mantan Yang Dipertua Persatuan Ibu bapa dan Guru (PIBG) SBP Integrasi Gombak, YBHg.  Datuk Seri Rizuan bin Abd. Hamid telah menyampaikan cek berjumlah RM200 000.00 kepada Persatuan Ibu bapa dan Guru SBP Integrasi Gombak. Cek tersebut telah diserahkan pada Yang Dipertua PIBG yang baharu, Yang Berusaha Bridg. Jen. Muhammad Anwar bin Abdullah.

Dalam majlis yang berprestij itu juga, pelbagai kategori Anugerah Kecemerlangan telah diberikan kepada murid, guru dan Anggota Kumpulan Pelaksana.   Buat julung kalinya Anugerah Khidmat Setia diperkenalkan bagi  mengiktiraf kecemerlangan Anggota Kumpulan Pelaksana Sekolah.  Di  samping itu juga, diumumkan bahawa  Murid Terbaik Thailand Tajaan Kementerian Pendididikan Malaysia ialah Saudara Waeda –Oh bin Wan Mahdi.    Akhir sekali,  kemuncak acara Majlis Anugerah Kecemerlangan dan Graduasi Kali ke-13  itu ialah pengumuman Anugerah Aur Gading Tokoh Murid 2015 iaitu, Saudara  Muhammad Saifullah AlQawieyy bin Mohd Abdul Wahab. Tahniah, dan selamat maju jaya kepada semua. Anda hebat, anda bersemangat. Momentum kecemerlangan ini perlu dipergiat.

Klik link di bawah untuk lihat gambar sekitar peristiwa :