Pusat Sumber Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Gombak mula beroperasi pada bulan Januari 2004 dengan sasaran utama pada waktu itu ialah mengemaskini stok bahan-bahan bacaan di perpustakaan. Pusat Sumber sekolah ini mempunyai kemudahan seperti sebuah bilik khas sebagai perpustakaan sekolah, sebuah bilik untuk Bilik Tayangan, sebuah pejabat guru, sebuah bilik rakaman, sebuah bilik serba guna dan sebuah bilik am.
Menjelang Mac 2004, Pusat Sumber mula membuka perpustakaan untuk kegunaan para pelajarnya. Pelajar-pelajar boleh mula meminjam buku-buku dari perpustakaan secara manual menggunakan kad keahlian perpustakaan yang boleh didapati dengan membayar yuran keahlian seumur hidup sepanjang bergelar pelajar Sekolah Berasrama penuh Integrasi Gombak sebanyak RM2.00.
Bermula dengan buku berjumlah 2000 buah , kini di penghujung tahun 2018, perpustakaan sudah pun mempunyai lebih 13,000 buah buku. Bilangan ini akan bertambah dari masa ke semasa mengikut peruntukan yang diterima dan keperluan semasa.
Bermula April 2004, Pusat Sumber mula membuka Bilik Tayangan untuk kegunaan guru-guru dan para pelajar. Kemudahan yang terdapat dalam bilik ini ialah pendingin hawa, sebuah peti televisyen, sebuah pemain cakera padat dan sebuah alat pemain kaset CD. Guru yang berminat boleh menempah bilik ini terlebih dahulu. Bermula tahun 2004 juga, perkhidmatan langganan akhbar telah dimulakan untuk semua pelajar SBPIG dengan dikendalikan oleh PSS sekolah. Pada bulan Januari 2005, pelbagai jenis perkhidmatan pula disediakan untuk para pengguna seperti perkhidmatan fotostet, ‘laminate’ dan ‘ binding’. Kini pada tahun 2018, satu penjenamaan semula telah berlaku di dalam Pusat Sumber dengan memperkenalkan satu konsep yang lebih moden dan berinovasi iaitu “Beyond Infinity“.
PSS juga telah mempelbagaikan aktiviti untuk menambah tabung PSS dari masa ke semasa seperti mengadakan jualan ‘Request’, jualan penanda buku, jualan pen dan jualan surat khabar lama.